Sesiapa yang lalu di hadapan rumah itu akan terasa seramnya. Seperti diperhatikan sesuatu dari dalam rumah. Rumah yang dahulunya sering dikunjungi orang- orang kampung itu terbiar sepi selepas penghuninya dihukum tanpa peluang bersuara diberi.
Walaupun orang- orang kampung sudah lama menjauhi rumah tersebut, Asyraf tegar menjadi pengunjung setia. Setiap pagi sebelum sawah bendang dijejak, rumah itu menjadi tempat persinggahannya. Sekadar memandang sayu ke arah rumah itu di halamannya. Harapannya tinggi untuk melihat jendela rumah tersebut terbuka memunculkan wajah ayu bekas tunangannya di tubir mata. Namun, segalanya tinggal angan yang terbawa- bawa ke dalam mimpi. Hartini tak akan kembali.
“Kita halau saja dia! Jika tidak, kampung kita akan dilanda bencana!” hasut Halimah, isteri Tok Ketua kampung itu.
“Tunggu!” tegah Izzuan. “Kita tak boleh terburu- buru! Kelak lebih satu jiwa akan merana!”
“Apa kau menyebelahi perempuan sihir itu? Apa kau pula telah diguna- guna?” meninggi suara Halimah. Semakin riuh suara orang- orang kampung yang sedang berkumpul di halaman rumah Tok Ketua.
Izzuan memandang wajah resah Asyraf. Matanya yang redup bagai meminta maaf kepada Asyraf kerana tidak mampu berbuat apa- apa.
Asyraf kematian akal. Bagaimana harus dia menentang orang kampung yang ramai sebegini? Sedangkan sekarangpun ibu bapanya menegah dari mencampuri urusan gila Halimah dan konco- konconya.
Aysraf tidak lena tidur malam itu. Wajah Hartini seringkali mengintai sepi. Mula- mula wajah ayunya yang akan menjengah. Tersenyum memandangnya. Namun, wajah itu perlahan- lahan berubah menjadi hodoh dan Hartini meraung- raung meminta tolong pada sesuatu yang tidak kelihatan. Dan setiap kali itulah Aysraf akan terbangun dengan keringat yang membasahi tubuhnya.
Usai solat Subuh, Asyraf berteleku merenung sejadah. Jika ibu bapa Hartini masih hidup, tentu perkara ini tidak terjadi. Jika Halimah tidak termakan hasutan syaitan, Hartini tentu telah berada di sisinya, tidak kiralah bagaimanapun paras wajahnya. Seketika, Asyraf beristighfar kembali, rasa berdosa menyelinap ke dalam diri kerana menyalahkan takdir yang telah tersurat.
Dia masih ingat bagaimana Izzuan terkocoh- kocoh ke rumahnya untuk memberitahu tentang Hartini yang dijumpai pengsan di rumahnya oleh Esah. Asyraf bergegas ke rumah Hartini. Rumah yang menjadi peninggalan arwah ibu bapanya yang baru meninggal seminggu yang lalu.
“Akak jumpa Tini dah pengsan, muka tersembam ke lantai. Bila akak terbalikkan mukanya…,” suara Esah mengendur, serba salah untuk meneruskan kata- kata. Aysraf mendapatkan Hartini yang dibaringkan di ruang tamu. Mengucap panjang Asyraf apabila dilihatnya wajah Hartini yang terkenal anggun dan memikat itu telah bertukar hodoh. Lagaknya seperti disimbah asid dengan kesan terbakar di seluruh muka. Baru pagi dia bertemu Hartini. Mustahil!
Hartini yang tersedar beberapa ketika selepas itu mengalami trauma yang dasyat apabila melihat wajahnya di cermin. Dia malu untuk berdepan dengan Asyraf dan orang lain. Saban hari dia hanya meraung meratap sendiri dan menguncikan diri di dalam bilik.
Setelah dipujuk rayu Esah, Aysraf dan Izzuan, barulah Hartini setuju untuk dibawa ke hospital namun, tidak banyak yang dapat dibantu doktor. Perubahan mendadak wajahnya itu dikategorikan sebagai penyakit misteri. Tiada ubat yang dapat dikenalpasti bagi membantu Hartini.
Maka, Hartini pulang ke rumah dengan hati yang berat. Berita tentang perubahan wajahnya cepat saja merebak bagai api yang memamah daun- daun kering lalu bahangnya menjadi penyumbang rangkaian fitnah yang sukar dibendung- Hartini dituduh mengamalkan ilmu hitam.
Kononnya ada sihir hasilannya yang berbalik memakan diri mengakibatkannya merana kerana racun buatan sendiri.
Beberapa siri kejadian
Beberapa pendomba dan penghasut utama seperti membentuk kumpulan sendiri diketuai Halimah yang kelihatan begitu mendendami Hartini kerana kononnya Tok Ketua sendiri pernah dihantui penyakit angau terhadap Hartini akibat sihir. Hartini juga dituduh menyebabkan kematian ibu bapanya sendiri untuk medapatkan harta yang sedia maklum banyak itu.
Maka pada malam hujan rebas turun membasahi bumi Kampung Bendang itu, Hartini dihalau kasar dari kampung tanpa belas kasihan. Dia tidak diberi peluang langsung untuk membela diri. Asyraf dan Izzuan yang
Akhirnya, Hartini akur dengan kehendak zalim segelintir orang kampung yang telah buta hati itu lalu melarikan diri ke dalam hutan belukar berdekatan kawasan kampung itu.
Sepeninggalannya, warisan harta arwah ibu bapanya jatuh ke tangan bapa saudaranya, Amat. Gembira bukan kepalang orang tua itu apabila menerima berita tersebut. Beberapa malam selepas itu, dia syik keluar berjoli tanpa memikiran nasib anak saudaranya yang sedang menderita itu.
Aysraf yang dipukul orang kampung pada hari Hartini dihalau, terlantar sakit di rumahnya lebih seminggu. Bukan fizikalnya yang parah, tetapi hatinya yang remuk musnah mengenangkan tunangnya itu.
Sebaik sahaja Asyraf mampu bangkit berdiri, dia menggagahkan diri menjejak Hartini. Kejap dalam hati harapan agar Hartini tabah mengharung yang sedang dialami. Hutan belukar tempat terakhir Hartini dilihat sebelummenghilang diredah Aysraf tanpa dimaklumkan kepada sesiapa.
Dari pagi dia meredah hutan belukar itu, cuba mengesan tanda- tanda Hartini pernah lalu di situ. Memang sukar kerana sudah lebih seminggu Hartini menghilangkan diri. Apabila senja menjelma, Asyraf berkeputusan untuk pulang sebelum kehilangannya dikatakan angkara Hartini pula.
Dalam kesamaran cahaya jingga senja, Asyraf berlari- lari anak berpatah balik mencari laluannya pagi tadi. Tiba- tiba, kakinya tersadung akar kayu. Asyraf rebah menyembah bumi. Kepalanya terhantuk pada seketul batu. Terasa kepalanya berpinar dan pandangan beransur kabur. Seketika sebelum dia hilang kesedaran diri, ada bayang melintasi pandangan. Cahaya kirmizi senja bertukar hitam.
Asyraf tidak pasti berapa lama dia telah pitam namun dia pasti hari telah larut malam. Bunyi cengkerik yang bersahut- sahutan membangkitkan kesedarannya. Terasa peluh bermanik di dahi. Dia yang sedang terbaring,
Sebentar kemudian, bunyi ranting patah kedengaran. Asyraf menoleh pantas. Apabila dia terlihat kelibat seseorang, jantungnya seperti berhenti berdegup seketika. Hartini melutut menghadapnya dengan senyuman. Walaupun wajahnya sudah berubah, senyuman itu masih dia kenal. Senyuman itu masih manis dan menenangkan.
“Tini masih di sini? Syukur Alhamdulillah,” Asyraf memanjatkan kesyukuran. Doanya sebleum ini nyata tidak sia- sia. “Tini, abang datang mahu membawamu pulang,”
Serentak Aysraf menghabiskan kata- kata, senyuman Hartini lenyap dari wajahnya. Hartini menggeleng lemah.
“Pulanglah, bang. Pulang ke pangkuan keluargamu. Tini tidak boleh mengiringimu pulang. Kejadian hitam itu akan berulang jika Tina kembali,” sayu suara Hartini menggamit perasaan seorang kekasih.
“Tapi abang tak akan pulang tanpamu. Marilah kita pulang, Tini. Ataupun kita tak perlu pulang ke Kampung Bendang. Kita boleh terus ke Bandar. Kita bernikah jauh dari mereka. Abang pasti...abang pasti orang tua abang akan merestui kepeutusan ini,” pujuk Asyraf lagi.
“Tidak, bang. Masih ada sesuatu yang belum selesai. Masih ada dendam yang belum terlerai,”
Asyraf terkedu. Lain benar nada suara Hartini itu. Bagaikan hatinya kini penuh kesumat yang membakar diri.
“Tinggalkan urusan pembalasan kepada Allah, Tini. Bagaimana tentang kita?”
“Pulanglah, bang. Tini pasti abang akan bertemu jodoh yang lebih naik. Pulanglah selagi abang boleh. Tini tidak akan mengapa- apakan abang dan keluarga, tetapi Tini mohon maaf kerana terpaksa menghukum mereka yang membuatkan Tini begini!”
Seketika mata mereka bertemu, lalu Hartini bangkit dan segera berlari semakin jauh ke dalam hutan. Asyraf mahu menjejaknya namun dia tidak mampu. Sekujur tubuhnya terasa lemah. Baru dia sedar yang dia telah berada di pinggir hutan belukar itu. Tentu Hartini yang yang membawanya sejauh ini. Hatinya pilu untuk meninggalkan hutan itu, namun dia pasti Hartini nekad enggan bertemu dengannya lagi. Buat pertama kalinya, Asyraf benar- benar merasa kecewa merantai dirinya.
Beberapa hari selepas kejadian itu, sejenis penyakit ganjil menyerang penduduk kampung. Tubuh penghidapnya akan merasa lemah, seluruh tubuh akan menggeletar dan mereka enggan makan. Mereka juga sering dibayangi igauan ngeri diiringi racauan yang tidak tentu butirnya. Halimah dan Amat adalah yang paling teruk menghidapnya. Ternyata orang alim yang cuba mengubati mereka mendakwa bahawa ia perbuatan sihir.
Mendengar khabar tersebut membuatkan Asyraf teringat akan kata- kata terakhir Hartini kepadanya. Dia enggan mengandaikan bahawa kejadian pelik ini adalah hukuman yang dimaksudkan Hartini tetapi hatinya kuat mengakui. Asyraf takut Hartini terjerumus mengamalkan amalan syirik demi membalas dendam. Dia sedar, manusia mudah saja dirasuk syaitan tanpa pendirian yang teguh lebih- lebih lagi diwaktu hebat diuji Tuhan.
Adakah benar Hartini benar- benar gagal menghadapi ujian ini? Asyraf maklum sihr hanya akan memecah belahkan silaturrahim dan merebakkan panyakit hasad dengki seperti suatu wabak. Jika telahannya yang ini benar, ternyata Hartini tumpas menjadi mangsa setaraf dengan mereka yang telah menganiayainya. Atau mungkin juga kejadian ini sekadar pembalasan dari Allah buat mereka yang telah menganiayai insan yang tak berdosa.
Sehinggalah Halimah, Amat dan beberapa orang kampung meninggal akibat penyakit ganjil itu, khabar angin terbongakar menyatakan Hartini menghidap penyakit ganjil asalnya akibat perbuatan sihir Halimah dan Amat. Selepas itu, kisah Hartini seperti hilang ditiup angin. Namun, Asyraf masih setia untuk menunggu jendela rumah Hartini dibuka kembali tuannya suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment